Saturday, February 16, 2008

Pena Penyusun IKMALIA 10

Assalamualaikum w.b.t,

Sesi persekolahan 2008 bermula. Kepada mereka yang masih bersekolah terutamanya di tingkatan lima dan tiga, tahun ini tahun perhitungan. Bersedialah dengan niat, doa dan usaha.

Niatkan keutamaan peperiksaan kita adalah untuk Allah dan Islam, kemudian barulah untuk ibu bapa, masa depan, kerjaya, kepuasan diri, penghargaan dan sebagainya. Betulkan aturan niat kita dengan mendahulukan Tuhan berbanding yang lain-lain. Kejayaan dalam peperiksaan itu nanti akan aku gunakan untuk memperjuangkan Tuhan dan Islam pada masa akan datang, bukan sekadar untuk mengisi perut dan kehendak sahaja.

Kemudian doa. Jangan hadkan doa seperti yang dilakukan kebanyakan orang. Doa hendaklah dipanjatkan sebelum berusaha, semasa berusaha dan selepas berusaha. Dalam ketiga-tiga keadaan hendaklah disertakan dengan doa.

Seterusnya usaha. Jangan hadkan usaha kepada perkara-perkara yang nampak sahaja, yang zahir sahaja. Perkara-perkara yang ‘tidak nampak’ atau yang batin hendaklah diambil kira. Buat apa yang Tuhan perintah dan tinggalkan apa yang Tuhan larang. Dengan cara ini, bantuan Tuhan mudah tiba.

Jika sebelum ini kita malas menunaikan ibadah fardhu, kita ubah jadi rajin. Sebelum ini mengabaikan penutupan aurat, jadikan menutup aurat itu satu kecintaan. Sebelum ini memenuhi masa lapang dengan hiburan, gantikan dengan aktiviti keagamaan.

Tapi awas! Ikhlaskan niat. Berubahlah kerana Allah, bukan kerana peperiksaan. Jika tidak, ‘peperiksaan’ yang menjadi ‘tuhan’ kita. Syirik namanya pada pandangan tasauf.

Kepada rakan-rakan Ikmalia yang sudah bekerja ataupun yang masih menyambung pelajaran, teruskan pembaikan diri. Yang paling penting, pastikan diri tidak terlepas daripada tarbiah dan teruskan usaha-usaha dakwah. Sentiasa ingat jawatan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi. Pendapatan dan masa yang Allah beri kepada kita di dunia ini bukan untuk dihabiskan untuk melayan perut dan kehendak semata. Ada bahagian untuk Allah dan Islam daripada pendapatan dan masa harian kita yang berupa ’zakat wajib’, yang mesti kita keluarkan pada jalan Allah. Jangan terpedaya dengan golongan manusia yang hanya mengusahakan keselesaan hidup di dunia. Jangan kita termasuk ke dalam golongan itu, besar ruginya dalam kehidupan jutaan tahun di akhirat nanti.

Akhir kata, marilah kita membiasakan diri berwatak dengan perwatakan orang-orang soleh, bukannya watak KEBIASAAN para artis, para pelawak, para model, bintang sukan, samseng, para penghias rupa (bertabarruj) dan sebagainya. Pilihlah perwatakan yang mendatangkan rahmat Allah dan keampunannya.

PANDANG GLOBAL,

BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Bapi Pihak Penyusun

Abu Zulfiqar

* Ummu Musfirah- iaitu penyusun Ikmalia agak kesibukan untuk menulis Pena Penyusun kali ini. Beliau hanya sempat meneliti bahan dan membuat pengesahan susunan sahaja. Insyaallah pada keluaran akan datang beliau akan kembali di ruangan Pena Penyusun.

No comments: