Tuesday, July 8, 2008

Menghadapi Godaan Perhiasan Dunia

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi itu sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, (untuk memerhatikan) siapakah antara mereka yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Kahfi: 7)

Banyak orang gagal dalam menghadapi ujian ini. Mereka tergoda dengan perhiasan dunia lalu sanggup menggadaikan pegangan agama. Hiasan dunia berupa kenikmatan mata memandang sesuatu, kenikmatan mulut merasa sesuatu, kenikmatan telinga mendengar sesuatu, kenikmatan tubuh mengalami sesuatu suasana dan kenikmatan otak memikirkan sesuatu sering mengalahkan manusia termasuklah orang-orang yang beriman. Prinsip-prinsip agama yang dipegang kukuh sebelum itu sanggup diketepikan semata-mata untuk mendapatkan lebih kenikmatan-kenikmatan yang disebutkan tadi, iaitu perhiasan dunia kesemuanya.

Contohnya seorang pemuda desa yang membuka warung di desanya. Dia tidak menjual rokok kerana berpegang dengan fatwa haramnya merokok. Kemudiannya dia berhijrah ke bandar dan membuka kedai di sana kerana mahukan pendidikan anak-anak kecilnya lebih terjamin. Matlamatnya bagus.

Hidup di bandar besar tentunya memerlukan lebih wang. Dalam usaha untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarganya di bandar besar itu agar anak-anaknya mendapat pendidikan yang lebih baik, si pemuda mula menjual rokok di kedainya. Maklumlah, berniaga rokok untungnya lumayan. Ke mana perginya fatwa pengharaman yang dipegangnya dulu? Sudah bertukar menjadi harus/ boleh pula. Alasannya, dia bermatlamat agar pendidikan anak-anak terjamin. Kenikmatan yang mahu dikejarnya adalah melihat anak-anak berjaya tapi prinsipnya dalam soal agama sudah dia ketepikan. Matlamatnya sudah menghalalkan cara.

Begitu juga contohnya seorang gadis yang asalnya bekerja di kilang dengan pendapatan RM 800 sebulan. Matlamatnya bagus iaitu untuk menambah pendapatan lalu berpindah jauh ke kota dan bekerja di pejabat dengan bayaran RM 1800 sebulan.

Tapi dulu pakaiannya baju kurung biasa, kini sudah mengecil di bahagian pinggang. Wajahnya dulu sekadar disapu krim pencerah kini sudah berbedak tebal, bergincu bibir dan ada bahagian-bahagian yang berwarna-warni. Untuk kekal di pejabat itu, dia mesti melakukan sedemikian kerana urusan sehari-harinya bertemu dengan pelanggan. Tangan lembutnya dulu yang tidak pernah dijamah lelaki bukan mahram termasuklah sepupunya, kini menjadi rabaan para pelanggan sebagai pra-syarat memulakan perbincangan.

Pegangan agamanya dibuang atas alasan mencari makan, untuk hidup lebih selesa berbanding sebelumnya. Kenikmatan yang dikejarnya adalah gaji. Matlamatnya untuk mencari gaji yang lebih baik, telah menghalalkan cara walaupun cara itu bertentangan dengan agama.

Carilah perhiasan dunia dan segala kenikmatannya semahu kita asalkan jangan ada prinsip agama yang digadai. Segala kenikmatan yang kita idam-idamkan itu hanyalah perhiasan dunia yang dijadikan Tuhan untuk menguji keagamaan kita. Anda mahu gagal dalam ujian ini?


oleh Alexanderwathern

Sumber: Risalah Dakwah IKMALIA bilangan 11 JULAI 2008

Arkib MEI 2008