Wednesday, October 24, 2007

RAYA TAK BERAPA ‘BEST’ LAH!

RAYA TAK BERAPA ‘BEST’ LAH

Hari Raya hadiah Tuhan kepada kita untuk bersyukur dan berceria. Kadang-kadang ada juga yang berkata:
“Raya tahun ni tak berapa best lah.”
“Boring la raya ni.”
“Raya tak raya sama aje aku rasa.”

Umumnya raya anda memang lebih ‘best’ daripada raya orang-orang tertentu. Bandingkan raya anda dengan raya insan-insan di bawah…

KOTA BHARU 6 Okt. – Walaupun dua tahun telah berlalu namun kemalangan ngeri yang mengorbankan ibu, bapa dan dua saudara perempuan mereka masih menghantui tiga adik-beradik yang kini hanya menumpang kasih kepada bapa saudara dan nenek yang berusia 80 tahun.
Tahun ini juga merupakan tahun kedua Aiman Nashriq Rozlan dan dua adiknya Aiman Najmi, 8, serta Aiman Firdaus, 6, menyambut ketibaan Syawal tanpa kedua-dua ibu bapa yang disayangi.
Lebih menyedihkan, walaupun sudah dua tahun tragedi itu berlaku, Aiman Najmi dan Aiman Firdaus terus sering bertanya bila ibu, bapa dan dua kakak mereka akan pulang.
Bapa saudara mereka Rosdi Osman, 37, yang mengambil alih tugas menjaga kanak-kanak berkenaan dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, anak saudaranya itu adakalanya bertanya di mana ibu dan ayah serta adik-beradik mereka yang lain.
Katanya, kecuali Aiman Nashriq yang sudah mengerti, dua lagi anak saudaranya itu tetap sering bertanya bila ibu, ayah dan kakak serta adiknya akan pulang.
Beliau berkata, Aiman Najmi yang merupakan anak istimewa dan adik bongsunya, Aiman Firdaus sering memanggil nama empat anggota keluarganya itu.
“Kami hanya dapat beritahu Aiman Najmi bahawa orang yang dipanggilnya itu sudah meninggal dunia.
“Bagi Aiman Firdaus pula, kami beritahu ibu ayah, Natasya dan Alisya sudah tiada, mereka pergi jumpa Tuhan. Kita kena sabar sebab nanti kita pun akan jumpa mereka juga,” katanya .
Tiga beradik itu kehilangan ayah dan ibu mereka, Rozlan Ayob, 36, dan Sarimah Othman, 32, serta saudara perempuan mereka, Nor Natasya, 10, dan Nor Alisya A’syah yang baru berumur dua tahun, dalam nahas jalan raya itu.
Dalam nahas itu kereta yang dipercayai dipandu ibu mereka terbabas dan melanggar tembok pembetung di tepi jalan di Kampung Kok Pasir, Palekbang sebelum terbakar.
Tiga kanak-kanak itu sempat diselamatkan penduduk kampung manakala mayat Nur Alisya A’syah ditemui rentung dalam pelukan bapanya di tempat duduk sebelah pemandu, manakala mayat Nur Natasya ditemui tertiarap di tempat duduk bahagian belakang sebelah pemandu kereta itu.
Rosdi berkata kejadian itu juga merubah watak Aiman Firdaus yang ketika kejadian berumur empat tahun, kini menjadi seorang yang pendiam dan suka bersendiri.
“Dulu dia memang cakap banyak, tapi kini, sepatah yang kita tanya, sepatah yang dijawabnya,” katanya.
Selain bergantung harap dengan Rosdi, tiga beradik itu bergantung kasih dengan nenek mereka, Mek Yam Che Wok, 80.
Sementara itu, Aiman Nashriq berkata, suasana raya tahun ini pasti lebih sayu kerana kedua-dua adiknya tidak mahu keluar dari rumah untuk beraya ke rumah jiran.
“Adik lebih suka mengurung diri di rumah dan tidak mahu bermain dengan kawan-kawannya terutama Aiman Firdaus. Walaupun dipujuk beberapa kali, dia tetap hendak tinggal di rumah.
“Sikap dia juga berbeza. Tak macam adik saya yang dulu. Dia lebih suka mendiamkan diri dan melihat apa yang kita buat terutama pak cik Rosdi membuat kerja di rumah,” katanya sewaktu ditemui ketika menerima bantuan Tabung Insaniah Harapan sumbangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan hari ini.
Sumbangan disampaikan oleh Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kassim.
Aiman Nashriq berkata, antara aktiviti wajibnya pada pagi Syawal adalah menziarahi pusara kedua arwah ibu dan ayahnya dan dua orang saudara mereka di Tanah Perkuburan Kok Pasir, Palekbang Tumpat.
“Sepanjang perjalanan ke situ (pusara ibu bapa tahun lalu), air mata kami adik-beradik tak henti-henti mengalir.
“Dulu, saya tak pandai membaca surah Yasin, namun selepas beberapa kali mengulang ayat itu, saya fasih. Saya juga mengajar Aiman Firdaus baca Fatihah. Saya suruh mereka doakan agar ayah, ibu, Nur Alisya A'syah dan Nur Natasya sentiasa dicucuri rahmat Tuhan,” ujarnya yang turut mengakui merindui pelukan dan kasih sayang daripada ibu bapanya.

Oleh: AMIRAH ZAWATIL AMALY
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm




No comments: